Resume lepasan SPM

Contoh resume lepasan SPM, walaupun belum pernah kerja

Belum ada pengalaman kerja pun tak apa. Letak pendidikan di atas, tulis gred SPM tepat seperti dalam slip atau sijil, dan isi ruang pengalaman dengan kerja sambilan, kerja bantu keluarga atau aktiviti sekolah.

Oleh Edwin TanDikemas kini

Susunan resume lepasan SPM:

  1. Butiran diri: nama, telefon, e-mel, bandar dan negeri.
  2. Profil diri: SPM tahun bila, bila boleh mula, boleh kerja syif atau tidak.
  3. Pendidikan: SPM, sekolah, dan gred setiap subjek.
  4. Pengalaman: kerja sambilan, gerai atau kedai keluarga, kerja sukarela.
  5. Kemahiran, bahasa dan aktiviti sekolah.
  6. Rujukan: "Boleh diberikan apabila diminta" sudah memadai.

Contoh penuh

Contoh resume lepasan SPM tanpa pengalaman kerja

Satu muka surat. Pendidikan di atas, pengalaman di bawahnya.

Lepasan SPM · butiran rekaan

Nur Aisyah binti Kamarul

Pembantu Kedai / Juruwang

013-246 8100aisyahkamarul.kerja@gmail.comKajang, Selangor

Profil Diri

Lepasan SPM 2025. Boleh mula kerja serta-merta dan sanggup bekerja ikut syif, termasuk hujung minggu. Biasa melayan pelanggan dan mengira wang semasa membantu di gerai makanan keluarga.

Pendidikan

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)2025

SMK Seri Saujana, Kajang

Bahasa Melayu A, Bahasa Inggeris B+ (CEFR B1), Matematik B, Sejarah C+
Pendidikan Islam A-, Sains B, Perniagaan B+

Pengalaman Kerja

Pembantu gerai (perniagaan keluarga)2023 – 2025, hujung minggu

Gerai Nasi Lemak Mak Long, Kajang

  • Mengambil pesanan dan menerima bayaran tunai serta DuitNow QR
  • Membungkus pesanan untuk 60 hingga 80 pelanggan setiap pagi Sabtu
  • Membuka dan menutup gerai bersama keluarga

Kemahiran

  • Melayan pelanggan dengan sopan
  • Mengira wang dan memulangkan baki dengan tepat
  • Microsoft Word dan Canva (asas)
  • Menepati masa

Bahasa

  • Bahasa Melayu (fasih)
  • Bahasa Inggeris (sederhana)

Aktiviti dan Pencapaian

  • Setiausaha Kelab Keusahawanan, 2024
  • Pasukan bola jaring sekolah, kejohanan peringkat daerah 2024

Maklumat Lain

  • Pengangkutan sendiri (motosikal, lesen B2)

Rujukan

  • Boleh diberikan apabila diminta
Nama, nombor dan tempat kerja dalam contoh ini rekaan.Guna contoh ini dalam pembina

Gred BI dalam contoh ini ditulis bersama tahap CEFR dalam kurungan. Tahap itu pun rekaan; salin tahap anda sendiri daripada Pernyataan Keputusan Bahasa Inggeris.

Perhatikan profilnya. Dua ayat itu menjawab tiga soalan yang biasanya majikan kedai dan kilang tanya dulu: bila boleh mula, boleh kerja syif atau tidak, dan pernah berdepan pelanggan atau tidak.

Gred SPM

Cara tulis gred SPM dalam resume

Salin gred tepat seperti dalam slip keputusan atau sijil SPM anda. Senaraikan setiap subjek dengan gred masing-masing, atau ringkaskan dalam satu baris seperti "4A 3B 2C" jika ruang terhad. Senarai penuh lebih berguna, sebab ada jawatan yang minta kepujian dalam subjek tertentu.

GredMaksudDalam sijil SPM
A+, A, A-, B+, B, C+, CKepujian (C ialah gred terendah untuk kepujian)Dicatatkan
D, ELulus (E ialah gred terendah untuk lulus)Dicatatkan
GGagalTidak dicatatkan
TTidak hadirAda dalam slip keputusan sahaja

Sumber: Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2025, Lembaga Peperiksaan.

Sijil SPM hanya mencatat subjek yang lulus. Jadi kalau anda ikut sijil, subjek bergred G memang tidak masuk dalam resume.

Jangan tukar gred kepada markah. Laporan analisis SPM oleh Lembaga Peperiksaan tidak menyenaraikan julat markah bagi setiap gred, jadi jadual "A+ = 90 hingga 100" yang beredar di internet bukan daripada sumber rasmi.

Bahasa Inggeris dan tahap CEFR

Keputusan Bahasa Inggeris SPM datang bersama Pernyataan Keputusan Bahasa Inggeris. Pernyataan itu menunjukkan tahap CEFR keseluruhan, dan tahap bagi membaca, menulis, bertutur dan mendengar.

Salin tahap keseluruhan itu dalam kurungan di sebelah gred BI. Tahap CEFR tak boleh diteka daripada gred, jadi ambil terus dari pernyataan anda.

Calon SPM 2026

Belum dapat keputusan SPM? Tulis begini

Kertas bertulis SPM 2026 berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember 2026 (jadual waktu SPM 2026, Lembaga Peperiksaan). KPM belum umumkan tarikh keputusan SPM 2026 setakat 19 Oktober 2026.

Ramai yang mula cari kerja sementara sebaik habis kertas terakhir. Dalam bahagian pendidikan, tulis:

PendidikanSijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, menunggu keputusan
SMK Seri Saujana, Kajang
Subjek: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains, Pendidikan Islam, Perniagaan

Bila keputusan keluar, tukar baris "menunggu keputusan" kepada gred sebenar dan hantar resume baharu kepada majikan yang masih memproses permohonan anda.

Lepasan SPM 2025 pula sudah ada keputusan. KPM mengumumkannya pada 31 Mac 2026 (kenyataan media KPM tentang keputusan SPM 2025).

Tiada pengalaman

Tiada pengalaman kerja? Isi dengan ini

Pengalaman tak semestinya kerja bergaji. Apa-apa yang menunjukkan anda boleh datang tepat masa, ikut arahan dan berdepan orang, boleh masuk.

Apa yang anda pernah buatCara tulis dalam resume
Tolong jual di gerai atau kedai keluargaPembantu gerai (perniagaan keluarga). Mengambil pesanan dan menerima bayaran tunai serta e-dompet.
Kerja sambilan masa cuti sekolahPembantu kedai (sambilan), Nov 2025 hingga Jan 2026. Menyusun stok dan melayan pelanggan.
Jual kuih atau barang secara dalam talianMenjual kuih secara dalam talian kepada kira-kira 30 pelanggan tetap; mengurus pesanan dan penghantaran.
Pengawas, ketua kelas, AJK kelabMasukkan dalam Aktiviti dan Pencapaian, dengan jawatan dan tahun.
Kerja sukarela, gotong-royong, program masjid atau kuilSukarelawan. Sebut tugas dan bilangan orang yang terlibat jika ingat.

Gunakan nombor bila boleh. "Melayan 60 hingga 80 pelanggan setiap pagi Sabtu" lebih meyakinkan daripada "Berpengalaman melayan pelanggan".

Kerja kilang

Contoh resume kerja kilang lepasan SPM

Operator pengeluaran, pembungkusan, gudang.

Iklan kerja kilang biasanya bertanya tentang syif, kerja lebih masa, pengangkutan dan tarikh boleh mula. Jawab semuanya dalam resume supaya penyaring tak perlu telefon untuk tanya.

Kerja kilang · butiran rekaan

Kavitha a/p Muthu

Operator Pengeluaran

014-920 3361kavithamuthu.kerja@gmail.comBukit Mertajam, Pulau Pinang

Profil Diri

Lepasan SPM 2025. Sanggup bekerja syif pagi dan malam, termasuk kerja lebih masa. Teliti dan biasa dengan kerja berulang semasa membantu di kedai runcit keluarga.

Pendidikan

SPM2025

SMK Taman Sejahtera, Bukit Mertajam

Bahasa Melayu B+, Bahasa Inggeris C+ (CEFR A2), Matematik B, Sains C
Sejarah C, Pendidikan Moral B, Bahasa Tamil A-

Pengalaman Kerja

Pembantu kedai runcit (keluarga)2022 – 2025, cuti sekolah

Bukit Mertajam

  • Menyusun stok di rak dan menyemak tarikh luput
  • Mengira barang yang masuk dan mencatat dalam buku stok

Kemahiran

  • Teliti dan cepat belajar
  • Boleh berdiri lama dan mengangkat barang ringan
  • Menepati masa

Bahasa

  • Bahasa Melayu (fasih)
  • Bahasa Tamil (fasih)
  • Bahasa Inggeris (sederhana)

Aktiviti dan Pencapaian

  • Ahli Pandu Puteri, 2021 – 2024

Maklumat Lain

  • Pengangkutan sendiri (motosikal)
  • Boleh mula serta-merta

Rujukan

  • Boleh diberikan apabila diminta

Untuk kerja kilang, gred SPM penuh tidak selalu diminta, tetapi ia tetap memberi gambaran tentang anda. Kalau resume terlalu panjang, ringkaskan gred kepada satu baris.

Kerja kedai dan part-time

Resume untuk kerja kedai atau part-time lepas SPM

Kedai runcit, kafe dan restoran banyak mengambil lepasan SPM untuk syif petang dan hujung minggu. Resume yang sama boleh dipakai, tetapi ubah dua perkara:

  1. Tulis hari dan jam yang anda boleh bekerja, terus dalam profil diri.
  2. Naikkan pengalaman berdepan pelanggan ke atas, walaupun pengalaman itu di gerai keluarga.

Ada contoh resume part-time yang lengkap di bahagian contoh ikut situasi di halaman utama.

Buat sendiri

Cara buat resume lepasan SPM dalam pembina

Pembina resume di halaman utama boleh dibuka dengan contoh SPM di atas sudah terisi. Tukar nama, telefon, e-mel, sekolah dan gred kepada maklumat anda, kemudian simpan PDF. Kalau anda pernah tekan Simpan draf, draf itu tidak hilang; pembina menunjukkan butang untuk membukanya semula.

Buka pembina dengan contoh SPM

Apa yang anda taip tidak dihantar ke mana-mana pelayan.

Sumber

Rujukan fakta di halaman ini

Laman ini laman bebas dan tiada kaitan dengan KPM atau Lembaga Peperiksaan.